Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, telah mengumumkan
penguatkuasaan hukum Hudud di negara Brunei, termasuk melaksanakan hukuman
potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal
Syariah itu, telah diwartakan selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.
Suatu masa dulu baginda pernah bertitah, “Siapa kita di
hadapan Allah, untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu? Undang-undang Islam
bukan sahaja digubal malah sudah tercatat di dalam Al-Quran dan Hadis lebih
1400 tahun dahulu”.
Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu
majlis tertutup berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah
itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.
Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia,
berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu
diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu
mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.
Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu
meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan
kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran
kandungan hingga kepada meminum arak. Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk
kepada umat Islam.
“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang
ini, tanggungjawab kita terhadap Allah sudah ditunaikan,” kata Sultan Hassanal
Bolkiah dalam ucapannya.
Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara
yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa
hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.
Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih
konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia
dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara
terbuka.
No comments:
Post a Comment